Sabtu, 16 Mei 2026M | 28 Zulkaedah 1447H

Majlis Penerimaan Siswa-Siswi Baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Pengajilan Kali Ke-4 Sesi 2026–2029M diadakan pagi tadi di Dewan Kuliah institut berkenaan di Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Seramai 44 pelajar baharu terdiri daripada 28 siswa dan 16 siswi diterima mengikuti pengajian Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat di institut tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali merangkap Ahli Lembaga institut berkenaan. Turut hadir ahli Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan, pengetua sekolah Arab, ibu bapa, siswa-siswi diraikan serta pegawai, guru dan kakitangan institut.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran “Qiraat Imam Warsh ‘An Nafi” beserta intisari ayat oleh Awang Hassanil Muhtadi Al-Siddiqi bin Drs Haji Ismuhadi dan Abdul Hadi Muaiyyad bin Haji Azrol. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit diikuti ucapan Tetamu Kehormat.

Para hadirin turut menyaksikan tayangan video sebelum penyampaian Mushaf Qiraat kepada siswa-siswi baharu oleh Tetamu Kehormat. Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar siswa-siswi baharu Sesi 1447H/2026M yang diketuai oleh Awang Syazwan bin Mohd Sidek.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Dr Sheikh Haji Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud.